Thursday 29 July 2010

Ada ke ubat utk berhenti merokok?

Salam sejahtera semua, minggu lepas ada seorang lelaki datang jumpa saya. Tujuan sebenarnya adalah nak sambung ubat kencing manis (Diabetes), semasa saya sedang menulis nama ubat, dia tanya saya ada ke ubat utk berhenti rokok? Saya jawab ada tapi kena beli sebab ianya hanya ada dijual di kedai farmasi saja.
Untuk berhenti hisap rokok, perkara asas yg perlu ada sebenarnya ialah niat atau azam. Kalau sekadar cakap nak berhenti hisap rokok tapi tak berazam sungguh takkan berjaya. Perkara kedua yg perlu ada ialah disiplin diri. Kalau sebelum ni anda hisap rokok sehari 20 batang, proses utk berhenti mesti dimulakan dengan mengurangkan bilangan batang rokok sehari. Contohnya kurangkan dari 20 batang sehari kepada 15 batang sehari untuk tempoh seminggu. Selepas seminggu bila badan dah selesa dengan 15 batang rokok, minggu kedua kurangkan lagi kepada 10 batang rokok untuk tempoh seminggu. Pada peringkat ini ketahanan diri mesti kuat. Kenapa? Pada peringkat ini mungkin ada kawan2 yg akan menghulurkan rokok bila lepak ramai2. Pastikan rokok tu adalah yg ke sepuluh atau kurang dari itu utk hari tu. Jika lebih dari sepuluh batang, kita kena berani berkata " saya dalam proses nak berhenti hisap rokok". Kalau kawan2 anda berfikiran positif , mereka pasti akan memberi sokongan. Jauhi kawan2 yg negatif.
Pada minggu ke 3 pula, anda perlu berhenti membeli sekotak rokok, sebaliknya beli sebatang bila teringin dan pastikan sehari tidak lebih dari 5 batang rokok. Dugaan yg hebat pasti akan datang pada peringkat ini, antaranya tangan anda akan menggigil sebab tak dapat rokok. Untuk mengelakkan dugaan yang hebat ini, perlu akan makanan sampingan utk menggantikan rokok. Contohnya gula-gula atau buah. Bagi anda yang mempunyai masalah kencing manis, gantikan rokok kepada buah epal hijau. Bagaimana caranya? sebelum makan nasi dirumah, hiris sebelah epal hijau dan potong dalam bentuk kecil ikut kemahuan anda. Kalau diluar rumah, pastikan order dizzert utk gantikan rokok.
Berapa lama nak hisap sehari 5 batang rokok? Kalau boleh antara 1 hingga 2 minggu sahaja. Pada minggu ketiga cuba hisap rokok selang sehari. Sehingga bila badan dah rasa stabil tanpa hisap rokok, anda boleh berhenti terus dari menghisap rokok.
Semasa menjalani proses berhenti menghisap rokok, cuba renung sejenak kalau sehari anda habiskan RM20 untuk membeli rokok, sebulan anda telah belanjakan sebanyak RM600. Ini bermakna untuk tempoh setahun anda telah belanjakan sebanyak RM 7,200.00 utk membeli rokok sahaja. Cuba bayangkan kalau anda telah merokok selama 10 tahun, sejumlah 72,000.00 telah dibelanjakan kepada rokok sahaja. Kalau jumlah ini dicatitkan dalam buku akaun simpanan anda alangkah bagusnya. Boleh bawa family pergi haji atau umrah. Bagi yg bukan islam, boleh beli sebuah kereta nasional cash. Kalau nak kembalikan apa yg telah dibuat memang tak boleh tapi anda boleh mulakan hidup baru dengan menyimpan sejumlah duit yg sepatutnya utk beli rokok ke akaun simpanan anda. Insyaallah kalau anda betul2 berazam utk berhenti merokok, semua ini akan jadi kenyataan. Semoga anda kembali sihat dan hidup mewah bersama keluarga tersayang.

Fakta yang perlu anda tahu tentang rokok.
Kandungan Berbahaya Dalam Rokok

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.



Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Di sekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.

Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.

Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.

Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.

Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :
• Melahirkan bayi yang kurang berat badan
• Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
• Lebih terdedah kepada kanser
• Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :
• Lebih mudah mendapat lelah
• Mendapat jangkitan paru-paru
• Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
• Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.



Bahagian Pengurusan Fatwa
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Aras 5, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Merokok Dari Pandangan Islam
Tarikh Keputusan:
23 Mar, 1995
Tarikh Mula Muzakarah:
23 Mar, 1995
Tarikh Akhir Muzakarah:
23 Mar, 1995

Search This Blog