Thursday 20 January 2011

KENCING MANIS DAN POTONG KAKI

Apakah maksud kencing manis?
Kencing manis terjadi apabila badan tidak mampu mengawal paras gula (glukosa) dalam darah. Kesannya, paras gula dalam darah menjadi tinggi dan menyebabkan banyak komplikasi terhadap tubuh badan.

Apa faktor-faktor yang menyebabkan badan tidak dapat mengawal gula dalam darah?
Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan badan gagal untuk mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah obeisiti, gaya hidup yang tidak aktif, mengambil makanan yang mempunyai kandungan kalori, gula atau lemak yang tinggi, mengandung dan keturunan. Pengambilan makanan yang mempunyai paras gula yang tinggi dalam tempoh yang panjang juga, dikatakan boleh menjadi antara faktor penyebab kepada terjadinya penyakit kencing manis.

Apakah simtom atau tanda-tanda paras gula tinggi dalam darah?
Tanda-tanda penyakit kecing manis ialah kerap bangun di waktu malam untuk kencing, cepat dan selalu berasa haus, cepat lapar, cepat letih dan hilang berat badan.

Komplikasi kencing manis
Gula yang terlalu tinggi dalam darah akan menyebabkan banyak komplikasi yang melibatkan banyak organ dalam tubuh. Salur darah terdapat di mana-mana dan paras gula yang tinggi dalam darah akan menyebabkan kerosakan pada salur darah seterusnya menyebabkan kerosakan pada organ. Kencing manis yang tidak dikawal akan menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting terutamanya mata (boleh menyebabkan buta), buah pinggang serta urat saraf. Kaki dan tangan akan menjadi kebas dan luka-luka pada tubuh badan sukar untuk pulih. Luka-luka yang tidak pulih ini akan merebak dan menyebabkan bahagian yang mati itu terpaksa dipotong. Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi menyebabkan pesakit terpaksa menjalani dialisis untuk membersihkan racun dalam tubuh badan. Meskipun, ia membersihkan racun dalam badan, teknologi tersebut tentunya tidak dapat menapis sebagus buah pinggang ciptaan Allah swt. Selain itu, pesakit kencing manis mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung yang boleh menyebabkan jantung rosak atau kematian secara tiba-tiba.

Pemotongan kaki (amputation) selalunya menjadi pilihan terakhir dalam merawat pesakit. Pakar Bedah Salur Darah Hospital Puswari Sdn Bhd, Dr Mazri Yahya menjelaskan 15% pesakit Kencing Manis akan mendapat luka atau ulser di kaki mereka sepanjang rawatan mreka. Luka itu akan jadi lebih teruk jika tidak diberi rawatan awal. Lebih kurang 10% pesakit Kencing Manis tidak mempunyai pilihan untuk rawatan lain selain kaki dipotong. Selalunya kaki yang terjejas berwarna ungu (seakan lebam) dan sejuk bila disentuh. 

Pesakit kencing manis harus menjaga kaki mereka dengan baik kerana mereka mungkin tidak merasai sebarang luka atau ulser disebabkan oleh kekurangan deria di kawasan itu. Pesakit kencing manis harus membersihkan kaki mereka setiap hari dan mengeringkan kaki dengan sempurna, khususnya kawasan di antara jari kaki. Bagi kekeringan kulit, pesakit kencing manis haruslah membubuhkan sedikit krim pelembap. Kuku jari kaki harus dipotong lurus untuk mengelakkan kecederaan kepada kulit. Kasut haruslah selesa dan tidak terlalu ketat. Pesakit kencing manis haruslah memastikan bahagian dalam kasut bebas daripada sebarang gerigit atau objek kecil sebelum memakai kasut. Kaki haruslah diperiksa setiap hari bagi luka, calar atau ulser. Jangan membubuh sebarang agen kimia pada kaki seperti plaster ketuat atau pembuang kalus (kulit tebal pada kaki) kerana bahan-bahan ini mengandungi asid yang boleh menyebabkan iritasi kulit yang seterusnya boleh menyebabkan ulser.
 
Pencegahan
Perlu diingat, bahawa kencing manis adalah penyakit yang tidak boleh dipulihkan (irreversible). Ia hanya boleh dikawal agar tidak menjadi teruk. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Kandungan gula yang diambil dalam pemakanan seharian perlu dikawal. Cuba kurangkan tabiat memakan makanan manis serta amalkan gaya hidup yang sihat.

No comments:

Search This Blog