Monday 22 November 2010

Diabetes Pencetus Pelbagai Penyakit Kronik

Fenomena diabetes di negara kita tidak jauh berbeza dengan negara maju seperti 
Amerika Syarikat. Dianggarkan pesakit diabetes di negara ini mencecah sejuta 
orang, dan 90 peratus daripadanya menghidap diabetes mellitus Jenis 2. 

Malah, insiden diabetes kini berlaku lebih cepat 10 tahun berbanding sembilan 
tahun lalu. Maknanya rakyat negara ini menghidap diabetes 10 tahun lebih awal 
dan tidak hairan jika ia turut berlaku pada lingkungan umur 30-an. 

Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, Profesor Dr Chan Siew Pheng, berkata 
masih ramai tidak menyedari atau memandang ringan ancaman besar diabetes kerana 
penyakit ini tidak mendatangkan kesakitan.

Masyarakat lebih memberi keutamaan kepada penyakit yang boleh membawa maut 
seperti sakit jantung dan strok, sedangkan ia sebenarnya berpunca daripada 
masalah kencing manis. 

Masalah kencing manis biasanya hanya diberikan tumpuan apabila pesakit 
mengalami kegagalan buah pinggang dan terpaksa bergantung kepada mesin dialisis 
untuk hidup.

"Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia boleh dielakkan. Masyarakat 
perlu sedar, diabetes adalah penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai 
masalah kesihatan lain," katanya pada pelancaran ubat mengawal paras glukos 
dalam darah, Glucovance, baru-baru ini. Hadir sama, Pakar Endokrinologi 
Hospital Medical City Dallas, Profesor Jaime A Davidson.

Diabetes mellitus Jenis 2 atau diabetes mellitus tidak bergantung pada insulin 
berlaku apabila badan tidak mampu mengawal paras glukos dalam darah (dipanggil 
hiperglisemia).

Kandungan glukos yang tinggi akan menjadi racun sehingga boleh menyebabkan 
komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, serangan jantung, strok, mati 
pucuk, buta dan kemungkinan kaki dipotong, terutama jika luka pada kaki 
bertambah melarat. 

Glukos adalah sumber tenaga penting kepada badan yang diperoleh daripada 
makanan dan yang dihasilkan hati.

Paras glukos dikawal oleh hormon insulin. Biasanya selepas makan, paras glukos 
meningkat cepat (apabila karbohidrat dan gula lain dipecahkan kepada glukos). 

Ini akan merangsang pankreas mengeluarkan insulin yang 'memberi arahan' kepada 
otot untuk mengambil dan menggunakan glukos dari darah. Pada masa sama ia 
menghentikan penghasilan glukos dari hati. Apabila paras glukos menurun, 
pengeluaran insulin juga semakin sedikit. 

Bagaimanapun bagi pesakit diabetes, otot dan hati menjadi kurang sensitif 
terhadap insulin (keadaan ini dipanggil kerintangan insulin).

Akibatnya insulin tidak lagi mampu mengawal paras glukos dalam darah dan 
pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengekalkan paras 
glukos yang selamat.

Lama kelamaan, pankreas tidak mampu menghasilkan insulin yang banyak bagi 
menangani tahap kerintangan insulin yang semakin tinggi.

Ia menyebabkan pengeluaran insulin mula menurun dan apabila badan tidak mampu 
mengawal paras glukos, bermulalah masalah diabetes jenis 2.

Sikap ambil mudah dan kurang prihatin menyebabkan lebih dua pertiga daripada 
pesakit diabetes mengalami kerosakan mata yang serius ketika penyakit mereka 
dikesan. 

"Diabetes adalah penyakit yang sentiasa berkembang. Semakin lama mendapat 
diabetes, semakin susah dikawal. Diabetes boleh membunuh, tetapi kebanyakan 
orang tidak sedar hakikat ini.

"Justeru, sebaik penyakit ini dikesan, pesakit perlu mengambil ubat secara 
teratur dan menjaga pemakanan. Sehingga kini tiada ubat boleh menyembuhkan 
diabetes. Sebarang kerosakan organ disebabkan diabetes tidak boleh disembuhkan, 
tetapi gejala ini boleh dikawal," kata Dr Chan. 

Langkah mengawal paras glukos dalam darah perlu bermula sejak penyakit dikesan 
dan mesti diteruskan sepanjang hayat. Inilah kaedah rawatan yang diamalkan 
sekarang untuk mengelak diabetes menyebabkan pelbagai kerosakan organ lain. 

Antara ubat digunakan sekarang ialah metformin dan glibenclamide.

Metformin mampu memanjangkan hayat pesakit diabetes dan menjaga kesihatan 
kardiovaskular untuk jangka masa panjang, tidak menyebabkan pertambahan berat 
badan dan merendahkan kesan kerintangan insulin. 

Glibenclamide pula membantu mengembalikan pengeluaran insulin ke paras normal, 
mengawal kandungan glukos dan merendahkan komplikasi akibat diabetes. Ubat baru 
yang menggabungkan kedua-dua bahan ini akan memudahkan pesakit memastikan 
kesihatan mereka sentiasa terkawal. 

Pesakit diabetes perlu mengekalkan paras glukos pada 6 mmol/liter ketika puasa 
dan tidak melebihi 7.5 mmol/liter selepas makan.

Namun, gaya hidup yang kurang bersenam dan tidak menjaga pemakanan menyebabkan 
paras ini sukar dicapai. Malah, ramai terpaksa menggandakan dos ubat untuk 
mengekalkan paras glukos yang selamat. 

"Masalahnya, pesakit lebih percaya dakwaan penjual ubat atau kata-kata jiran 
mengenai ubat tradisional yang belum diuji keberkesanannya secara saintifik dan 
mula berhenti mengambil ubat diberikan doktor.

"Ini menyebabkan penyakit mereka semakin teruk dan apabila dibawa ke hospital, 
ia sudah menimbulkan komplikasi lain. 

"Seperkara yang perlu diingat, kos mengawal diabetes jauh lebih murah daripada 
merawat penyakit akibat diabetes," katanya.

BAHAYA SAKIT KENCING MANIS

MENGAPA kawalan diabetes penting? Diabetes sebenarnya menjadi 'akar' kepada 
penyakit kronik lain seperti strok, sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. 

Diabetes boleh menyebabkan komplikasi penyakit lain, iaitu:
 
1. Kerosakan retina mata (pesakit ada risiko buta).

2. Peredaran darah ke kaki menjadi lemah. Akibatnya, luka pada kaki lambat sembuh 
dan semakin melarat hingga terpaksa dipotong (bagi kes serius).

3. Kerosakan buah pinggang.

4. Menyebabkan serangan jantung dan strok (80 peratus pesakit diabetes mati kerana 
dua penyakit ini).

5. Masalah mati pucuk.

6. Kerosakan sistem saraf. 

No comments:

Search This Blog