Tuesday 2 November 2010

Hidup Memberi.....Derma Organ!

MENGAPA SAYA MENDERMA ATAU TIDAK MENDERMA?
Saya cuba mencungkil hal ini dan memulakannya dengan bertanyakan soalan itu kepada diri saya sendiri. Mengapa saya tidak menderma? Adakah kerana agama? Saya telah meluangkan masa kira-kira seminggu meneliti perbincangan Ulama pelbagai negara, mazhab, pendekatan dan pendirian. Majoritinya sampai kepada titik noktah yang sama iaitu mengharuskan pendermaan serta pemindahan organ.
Apakah hujah-hujahnya meyakinkan? Ya, sungguh jelas dan meyakinkan. Malah fatwa-fatwa itu sudah matang kerana berbelas malah berpuluh kali Ulama bersidang mengenainya dan mereka terus konsisten pada menetapkan keharusannya.
Maka penjelasan dari segi agama, selesai. Islam bukan hanya mengharuskannya malah menganggap ia sebagai suatu kebajikan yang amat besar maknanya. Lantas agama tidak sepatutnya menjadi alasan kepada orang Islam untuk tidak menderma organ.
You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video
Apabila saya menyemak statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia, nyata sekali, agama bukanlah faktor utama yang menghalang kita menderma.
sebab_takderma.jpg
Sumber: Kaji Selidik IKIM: Majalah “Kefahaman Islam” Jan 2006 Bil 61 Muka Surat 18
Halangan utamanya ialah TAKUT. 56.3% mengakuinya. Takut ini puncanya pelbagai.
PUNCA TAKUT
Ada takut yang terbit dari keadaan tidak kenal mengenal. Kita memusuhi apa yang kita tidak kenal. Kita takut sesuatu yang kita tidak mengerti. Takut seperti ini mungkin kerana kurang maklumat. Kurang pendedahan. Maka takut seperti ini boleh dirawat dengan membekalkan maklumat seperti yang sepatutnya.
Namun ketakutan ini sukar untuk diubat jika majoriti kita masih terbelenggu oleh “Aku Tidak Pedulisma”. Tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling kita, tidak peduli pada segalanya. Saya percaya faktor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah penderma organ Melayu Muslim yang menyedihkan.
KEKURANGAN NILAI
Ada takut yang terbit kerana kekurangan nilai tertentu dalam diri. Di sinilah saya cuba menguji diri. Saya bayangkan yang di hadapan saya ada sekeping papan yang saya letakkan sebagai penghubung di antara dua meja. Dengan ketinggian 1 meter dari lantai, sanggupkah saya menyeberang dengan melintasi papan itu? Nyata sekali saya sanggup. Tiada risiko. Jika meja itu ditinggikan setinggi sebuah almari, apakah saya masih berani? Mungkin saya sedikit teragak-agak tetapi boleh mencuba jika jelas apa tujuannya. Ada upah? Barangkali…
Tetapi beranikah saya jika dua almari itu diganti dengan bangunan 3 tingkat?
Jawapan saya jelas… saya tidak berani, dan saya tidak perlu untuk mengatasi ketakutan saya kerana tiada keperluan di situ.
Bagaimana jika ada keperluan? Bagaimana kalau di tingkat 3 bangunan di seberang sana itu, anak saya sedang menjerit meminta tolong? Tingkat 1 dan dua sudah dijilat api. Satu-satunya cara untuk anak saya diselamatkan adalah dengan saya pergi mendapatkannya sendiri. Dengan melintasi papan itu. Pada kadar setinggi 3 tingkat. Sanggupkah saya? Saya sanggup. Mengapa tadi tidak sanggup, kini sanggup? Apa yang mendorong saya untuk berani? Keghairahan apa yang membara di dalam diri ini?
KUASA KASIH SAYANG
Itulah nilai kasih dan sayang. Kerana sayang saya sebagai bapa kepada anak, saya sanggup melakukannya. Jelasnya, saya perlukan nilai untuk membakar keberanian. Nilai harta tidak bermakna. Nilai kemegahan dan nama tidak berguna. Tetapi kasih saya mencetus keinginan yang membara. The burning desire…! Sesuatu yang mustahil kita lakukan, jadi tidak mustahil apabila ia dijana dengan nilai kasih sayang. Apakah 56.3% ketakutan itu berpunca dari gersang nilai? Tiada kasih sayang dan semuanya hanya ada secebis kasih saya untuk mengasihi diri sendiri sahaja?
Nilai ini tidak boleh dibuat-buat. Tidak mungkin seorang yang hidupnya self centered, mementingkan diri sendiri, tidak peduli kepada orang lain, tiba-tiba mahu menderma organ atas perasaan kasih sayang. Sama ada seseorang itu pengasih, atau sebaliknya. Perasaan kasih sayang menjadikan kita suka memberi. Menjadikan hidup ini penuh erti dengan memberi, terbit dari rasa kasih dan sayang.
“Tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri” (Hadith Muslim)
Kesediaan memberi yang terbit dari kasih dan sayang adalah pelengkap yang menyempurnakan iman. Sebagai seorang mukmin, saya sepatutnya mempunyai upaya untuk menyintai lebih dari sekadar zuriat dan ahli keluarga semata-mata. Bahkan sesiapa sahaja yang beriman, adalah saudara saya yang berhak saya kasihi. Rasa kasih kepada saudara dalam iman, menjadikan hidup memberi penuh bererti. Memberi itu tinggi, dan ia mendatangkan kemanisan kerana pemberian hadir dengan rasa kasih.
Masa, tenaga, fikiran, harta benda, yang selama ini diberi di jalan kasihkan sesama mukmin, dilengkapkan lagi dengan dorongan untuk menjadi penderma organ kerana ia adalah sesuatu yang saya tidak perlu bawa ke kubur, malah boleh dimanfaatkan oleh saudara saya yang masih hidup. Ia adalah wala’ saya sebagai mukmin… Nilai kasih saya juga, menekan rasa takut untuk tidak mengganggu kefahaman saya di dalam soal pendermaan organ, biar pun organ itu mungkin akan diberi kepada orang yang tidak beriman.
Biar pun secara naluri, saya mahu keutamaan diberi kepada saudara saya yang beriman, namun biarlah Allah yang mengaturnya kerana organ ini adalah keperluan sekalian hamba-hamba-Nya. Jika Allah memberi kehidupan kepada hamba-hamba-Nya tanpa memilih di antara yang beriman dan tidak beriman, siapa saya untuk bersikap sebaliknya? Malah penghayatan saya kepada Islam sebagai agama Rahmat seluruh alam, menjadikan diri saya kasih kepada mukmin, dan prihatin kepada sekalian yang lain. Tidakkah Nabi SAW sendiri bangun ketika lalu di hadapannya mayat seorang Yahudi, atas alasan kemanusiaan…?
ALLAH MENGULANGI NAMA-NYA YANG PENGASIH
Benarlah, untuk melakukan suatu yang bersifat memberi, jiwa perlu kaya dengan kasih dan sayang. Bagi memudahkan hamba-hamba-Nya berperanan memberi, itulah ar-Rahman dan ar-Rahim, nama yang paling kerap diulang-ulang di dalam al-Quran. Allah sebagai Tuhan yang Rahman dan Rahim, Maha Memberi kepada makhluk-nya.
Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi
.imamraya.jpg
Erti hidup di dunia pada memberi, erti hidup di Akhirat pada menerima… kurniaan Allah Rabbul Izzati. Semoga keputusan saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ, boleh meyakinkan setiap insan yang saya temui, bahawa kemuncak tertinggi bagi sebuah hidup ini… adalah dengan mengertikannya pada MEMBERI..
BAGAIMANA SAYA MENURUNKAN TANDA TANGAN?
Saya telah berdaftar sebagai penderma organ dalaman sahaja. Ada pun kornea mata dan kulit, saya bimbang keluarga tidak bersedia dan mengalami trauma, walaupun saya tahu proses pemindahan organ dan tisu dilakukan dengan penuh penghormatan dan jenazah tidak akan dicacatkan sewenang-wenangnya. Anggota dalaman tidak mengapa. Setakat kesan jahitan tubuh, isteri saya sendiri adalah seorang doktor yang sudah melihatnya sebagai pemandangan biasa. Tetapi saya sudah berpesan kepada isteri. Tentang soal kornea mata dan anggota luar, biarlah beliau yang memutuskannya dari segi kesanggupan. Pada saya, selepas bercerai tubuh dan nyawa, segala-galanya tidak berguna lagi.
Teringat saya kepada kata al-Quran bahawa di Mahsyar, ada ibu yang sanggup korbankan anaknya sendiri, jika boleh digunakan untuk menyelamatkan diri. Memikirkan ayat itu sudah cukup pedih buat saya ketika ‘melihat’ betapa terdesaknya kita di Akhirat nanti. Jika menderma organ boleh menambah keselamatan saya di Akhirat, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya. Selepas mati, apalah sangat nilai yang ada pada buah pinggang, jantung, hati dan tulang, berbanding kesanggupan ibu mengorbankan anak sendiri, demi keselamatan nafsi-nafsi di Akhirat nanti.
Saya seru dari lubuk hati’ daftarkanlah diri sebagai penderma. Saya pun tidak tahu selepas mendaftar ni, adakah nanti fizikal saya sesuai dan boleh didermakan. Saya mungkin mati kemalangan, saya mungkin mengalami kerosakan jantung, hati, buah pinggang dan lain-lain. Tetapi dengan mendaftar sebagai penderma’ Insya ALlah dengan niat yang betul, ganjaran di Sana sudah tersedia..
Ayuh!
Wahai insan yang kurang bekal, tambahkan amal banyakkan kebajikan.
Sudikah anda bersama?

frontpage.jpg
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

1 comment:

rose ayamor said...

Assalamualaikum

Alhamdulillah... tahniah atas pekongsian ilmu dan semangat yang diberikan. Doakan saya diberikan kekuatan untuk mengikuti langkah saudara/i...

Search This Blog